Gig Review - Resurrection:

Gig: Resurrection RnB Hip Hop
Tarikh: 20.2.2010
Tempat: Maison, Kuala Lumpur

Sebenarnya gig ini sudah lama dirancang, dan ura-ura untuk gig ni diadakan memang telah bermain ditelinga-telinga dan bibir-bibir mulus peminat-peminat RnB tempat sejak daripada tahun 2009 lagi. Pada tanggal 20.2.2010 bertempat di Maison Kuala Lumpur, ianya telah diadakan dengan jayanya. Saya pada saat-saat akhir telah mengambil keputusan untuk menyaksikan persembahan ini dan ianya satu keputusan yang tidak saya kesalkan.

Saya bersama Fazley Crescendo dan Mr.Roy telah bertolak dari ampang pada sekitar 4 petang dan bernasib baik kerana mendapat kekosongan tempat letak kereta di hadapan Maison. Dalam pukul 5, keadaan masih lagi tenang namun kelibat sahabat sahabat dari Hearts of Men, First Edition dan beberapa kumpulan lain sudah kelibat mundar mandir di venue gig. Saya mengambil peluang untuk bertegur sapa dengan sahabat-sahabat lama yang sememangnya sudah lama tidak bertemu mata dan suara.

Dalam pukul 6.30 petang, kebanyakan kawan-kawan lama sudah mula berkumpul dihadapan venue bertanya khabar dan bergambar dengan ceria dan hyperactive. Namun terdapat sedikit masalah yang mungkin akan menyebabkan gig tersebut tidak dapat dilansungkan. Semua menanti dengan sabar sambil mengambil gambar barang sekeping dua. Syai Infinatez dari SR Photography kelihatan sibuk kesana kemari dengan cornrow hodohnya (haha chill dude). Amir Infinatez juga turut kelihatan memberikan sokongan.

Infinatez ketika ditemuramah. Gambar ihsan SRPhotography & MESR Resources.

Pihak pengurusan akhirnya dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan pihak venue lalu gig pun bakal dimulakan walaupun agak terlalu lambat. Saya sendiri agak risau kerana melihatkan masa agak suntuk, adakah sempat untuk kumpulan yang bakal mengadakan persembahan yang terlalu banyak sempat mengadakan persembahan. Saya pasti, mungkin ada yang akan terkecewa.

Saya tidak mengingati kesemua kumpulan-kumpulan yang mengadakan persembahan jadi saya hanya akan mention kumpulan-kumpulan yang saya kenal sahaja. Teruja saya melihat sahabat-sahabat lama mengadakan persembahan bersama setelah sekian lama tidak berkongsi pentas. Hearts of Men, Soul, First Edition, Crescendo, Flowwiduz, Infinatez, Ruffedge dan VE sememangnya nama-nama yang tidak asing lagi untuk peminat-peminat RnB bawah tanah khususnya bagi saya sendiri sejak tahun 2004.

Infinatez mengadakan persembahan. Gambar ihsan SRPhotography & MESR Resources.

Infinatez hanya sempat menyanyikan sebuah lagu sahaja iaitu lagu Have I Never daripada kumpulan A Few Good Men. Persembahan mereka mendapat sokongan dan tepukan serta sorakan yang sangat gemuruh. Alvin telah terbang daripada Sabah untuk persembahan ini serta beberapa urusan beliau di Kuala Lumpur. Rafik Taib, Shah Aziz, Daniel Hashim dan Alvin Mahathir memberikan persembahan yang terbaik mereka pada malam itu. Saya dapat merasakan bahawa mereka benar benar melepaskan gian diatas pentas. Mungkin kerana agak lama tidak perform bersama dan mengadakan persembahan bersama rakan-rakan lama yang lain.

Saya masih mengingati ketika saya masih lagi bersama Infinatez sekitar 2004 hingga awal 2007, persembahan-persembahan begini boleh dikatakan kerap berlaku. Yang masih bermain difikiran adalah persembahan Infinatez, Soul Dinero, Hearts of Men dan Quizzicles untuk Fete De La Musique yang dianjurkan oleh HELP Institute serta persembahan oleh kumpulan-kumpulan yang sama di sebuah sekolah gadis gadis di kuala lumpur yang saya lupa nama sekolahnya. Yang paling meninggalkan kenangan adalah RnB Party yang diadakan di Planet Hollywood yang mengumpulkan hampir 10 kumpulan vokal RnB anjuran Mamal Flowwiduz.

Namun selepas tahun 2008, scene bawah tanah Rnb seolah-olah mati. Saya tidak tahu dimana silapnya. We were so strong back then. Entah lah, tetapi gig ini memang mengembalikan memori-memori lama bersama dengan these fellas. Saya berharap, gig seperti ini diperbanyakkan dan juga turut berharap agar muka-muka baru RnB boleh keluar dari sarang anda dan meriahkan kembali scene ini.

Walaupun banyak masalah yang berlaku, gig tersebut ditamatkan on a high note. Kudos.

Nor Hafeez Benign Nurul Hadi.

0 comments: